“Cik Husna, apabila masuk ke kelas nanti pastikan awak mempamerkan ketegasan supaya pelajar tidak mengambil kesempatan pada awak…terutama pelajar tingkatan 1U iaitu kelas paling tercorot. Pelajarnya nakal-nakal,” ujar Puan Pengetua kepadaku dengan senyuman penuh makna.
***********************
“Assalamualaikum ustazah”. Lamunan kuterhenti apabila seorang pelajar perempuan memberi salam kepadaku. Aku menjawab salamnya dan meneruskan langkah kakiku untuk ke kelas 1U di tingkat 2 blok B Sekolah Menengah Kebangsaan Sayong. Ah, perasaanku ketika ini bercampu baur, rasa berdebar, takut, tetapi tidak sabar untuk memulakan tugas sebagai pendidik. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang menjadi pendidik walaupun hanya sebagai guru sandaran tidak terlatih.
Setelah melihat Cikgu Azhar keluar daripada kelas 1U, aku pun melangkah masuk dengan penuh yakin tetapi mempamerkan wajah yang sedikit senyum. “Bangun! Assalamualaikum ustazah! “ seorang pelajar lelaki mungkin ketua kelasnya bangun memberi arahan kepada kawan-kawan sekelasnya. Aku menjawab “Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, baik jangan duduk lagi, baca doa beramai-ramai ye”. Aku melihat hanya beberapa orang pelajar sahaja yang membaca doa,yang selebihnya hanya menadah tangan tanpa menggerakkan mulutnya.
“Baik, sebelum memulakan pelajaran hari ini, ustazah mahu memperkenalkan diri dan berkenalan dengan awak semua dahulu, boleh?”. Ujarku bersahaja. “Bolehhh ustazah”. Aku merenung pelajar-pelajarku satu persatu. Pelajar kelas 1U hanya 17 orang dan yang menariknya semuanya adalah lelaki. Patutla Puan Pengetua beriya menasihatiku untuk mempamerkan ketegasan ketika awal masuk ke kelas.
***********************
“Macammana ustazah Husna?”, tanya Cikgu Siva sebaik sahajaku melangkah masuk ke bilik guru. “Maksud cikgu?”, aku menjawab persoalannya dengan soalan juga kerana kurang mengerti dengan pertanyaannya. “Iye la, tadi kan ustazah masuk kelas 1U. Pelajarnya nakal-nakal kan? I ajar matematik kelas tu, susah betul nak ajar.” Jawab Cikgu Siva panjang lebar. Aku hanya tersenyum kemudian menjawab panjang lebar, “Alhamdulillah, boleh la cikgu, nakal-nakal sikit tu memang ada, tapi saya rasa simpati terhadap diorang terutama Syafiq, Jefri, Azwan,Najmi dan Jamil. Tapi Redhuan dan Hazwan bagus dan dengar kata.”Cikgu Siva merenungku kehairanan,”Eh, ustazah boleh ingat ramai dah nama pelajar kelas tu? Baru masuk sekali kan..”. “Iye baru masuk sekali, tapi pelajar kelas ni tak ramai, mudah saya nak ingat, cikgu,”jawabku ringkas menutup bicara.Aku membuka buku rekod pengajaranku, berniat untuk menulis rancangan pengajaran harian untuk esok. Namun, fikiranku menerawang kepada pelajar-pelajar kelas 1U tadi.
“Nama saya Najmi, anak bongsu, hehe”, Najmi tersengih sambil memperkenalkan diri. Najmi merupakan salah seorang daripada pelajar kelas 1U yang masih tidak lancar membaca. Setelah kuuji seorang demi seorang hanya 7 orang sahaja yang bacaan bahasa melayunya lancar. “Baik, ustazah nak dengar kamu semua baca surah al-Fatihah seorang demi seorang, boleh?” Hari pertama masuk ke kelas memang niatku untuk membuat ‘tinjauan’ secara tindak langsung tentang ‘iklim’ anak muridku di kelas 1U ini. Masih ramai yang tidak lancar membaca al-Fatihah, apabila ditanya solat juga amat jarang diamalkan kecuali seorang. Ah, dalam umur 13 tahun mereka dilayan oleh ibu bapa seperti kanak-kanak, tidak langsung mementingkan solat.
“Ustazah! Najmi ambil tali leher saya..”, jerit Redhuan dengan muka menahan tangis.“Najmi, boleh duduk diam sekejap? Kenapa suka mengganggu orang, sayang..”ujarku sambil menuju ke meja guru. Ketikaku mendengar bacaan Al-Fatihah pelajar lain, Najmi suka mengambil kesempatan itu mengusik rakan-rakannya.”Hah!..SAYANG??” serentak Kamarul, Daniel, Mustafa, Hanif, Syafiq dan Firdaus mengulang kata yang kusebut kepada Najmi. Kelihatan Najmi tersenyum malu-malu kucing.Alamak, aku tersilap cakap ke? Hatiku berdetik, lantas mencari idea meredakan suasana. “Iye la..salah ke? Ustazah sayang pada kamu semua sebagai anak murid ustazah, seagama dengan ustazah, sebangsa dengan ustazah…Allah s.w.t dan Rasulullah SAW menyuruh kita umat Islam saling menyayangi sebab kita bersaudara.”Jawabku panjang lebar sambil tersenyum.
“Tapi ustazah baru kenal kami..lama-lama mesti ustazah benci kami, sebab cikgu lain kata kami nakal sangat.” Tiba-tiba Syafiq bersuara selamba sambil mengangkat keningnya. “Syafiq, tiada sebab ustazah nak benci kamu semua jika kamu berusaha berkelakuan baik. Ustazah tidak boleh mengubah kamu tapi ustazah suka membantu dan bagi peluang pada kamu untuk jadi lebih baik”ujarku spontan, namun dihatiku berdoa agar Allah membantu dan memberi kekuatan padaku untuk menghadapi ‘cabaran’ mendatang.
********************************
Kini hampir 6 bulan aku mengajar di SMK Sayong. Dalam 6 bulan ini juga banyak pengalaman yang kuperolehi, terutama ketika berusaha mendidik pelajar-pelajar 1U. Sayu hati mahu meninggalkan mereka. “Ustazah mahu meminta maaf jika selama ustazah mengajar kamu ustazah ada terkasar bahasa, mendenda kamu dan sebagainya. Ustazah harap kamu semua faham dan mengambil pengajaran atas apa yang telah ustazah ajarkan.”Aku menuturkan ucapan kepada para pelajar 1U memandangkan hari ini adalah hari terakhir aku mengajar. “Kami minta maaf juga ustazah..”,tiba-tiba Najmi bersuara. Aku berasa sangat gembira kerana terdapat sedikit perubahan pada kelakuan Najmi,begitu juga sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka sudah tidak lokek untuk memohon maaf apabila berbuat salah, dan apabila disuruh berzikir, tidak lagi malas membuka mulut.
Walaupun 6 bulan adalah masa yang sangat singkat untuk mengubah mereka tetapi aku masih bersyukur atas perubahan yang ditunjukkan. “Kami nak ustazah mengajar kat sekolah ni semula lepas ustazah habis belajar tau.”ujar Firdaus. “InsyaAllah, panjang umur kita jumpa lagi,ingat pesan ustazah jangan bersikap biadab pada guru dan ibu bapa. Walaupun kita tidak sepandai orang lain tapi biar budi pekerti kita tinggi,Allah itu Maha Adil..jangan malas solat juga.” Aku memberi amanat dan kata-kata terakhir sambil merenung wajah anak-anak muridku satu persatu. Jauh di sudut hati aku berdoa dan berharap agar mereka menjadi insan berguna kelak.
Nah! Aku telah berusaha menjalankan amanahku mendidik mereka, kini aku berserah padaMu ya Allah yang Maha Berkuasa membuka pintu hati hamba-hambaNya yang dikehendaki. Semoga langkah semalam dan hari sebelumnya akan membawa sirna untuk langkah seterusnya di masa hadapan…
Hasil Nukilan:
Husna el-mujahid
(Sempena tugasan subjek DPLI : Dr Ariffin Mamat)
No comments:
Post a Comment