Tuesday, December 11, 2012

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan...

        Hari ini 11 Disember 2012 genaplah setahun usia perkahwinanku bersama suami tercinta Che Muhsin bin Che Ibrahim. Alhamdulillah, sepanjang setahun ni banyak yang telah ana pelajari tentang cinta dan perkahwinan ..tapi masih jauh lagi perjalanan kehidupan kami..InsyaAllah.
       Perkahwinan pada ana bukanlah matlamat hidup, tetap ia adalah salah satu wasilah untuk kita menjadi muslim yang bertaqwa. Allahu Akbar, maqam taqwa adalah suatu yang diingini oleh semua muslim/muslimah. Sebelum kahwin kita berusaha menjadi muslimah bertaqwa secara individu, tetapi apabila berkahwin Allah memberi 'teman/sahabat/rakan' yang sangat akrab kepada kita untuk sama-sama membantu, mengharungi dan memberi motivasi dalam menempuh perjalanan mengejar cinta dan taqwaNya. Di sini ana suka untuk membawakan petikan artikel Ustaz Zaharuddin berkaitan objektif perkahwinan dalam Islam untuk rujukan dan manfaat kita semua :


Firman Allah SWT, Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ( Al-Rum : 21)

Berdasarkan rujukan saya (Ustaz Zaharuddin) dari huraian para ulama silam di dalam kitab-kitab tafsir, dapat saya simpulkan dari ayat di atas, antara fungsi rumahtangga yang MESTI diusahakan oleh kedua-dua pasangan adalah untuk menjadikannya sebagai :-

1)    Litaskunu Ilayha
= Tempat merasa tenteram, kerehatan dan ketenangan. Faktor terkuat untuk menghasilkan aspek ini adalah individu di dalam rumah itu sendiri. Walau rumah sebesar dan sehebat mana pun binaannya, tanpa ahli rumah yang berkualiti, rumah tetap tidak mampu menghilangkan masalah.

2)    Mawaddah wa rahmah
= tempat emosi dan perasaan belas, kasih sayang dan cinta dipupuk. Maka adalah tanggung jawab pasangan untuk sentiasa memperbaharui kasih dan sayang mereka di antara satu sama lain. Itulah salah satu huraian yang diberikan oleh Sahabat Nabi, Ibn Abbas r.a apabila beliau berkata :
المودة حب الرجل امرأته
Ertinya : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya ( Tafsir Al-Qurtubi)
Justeru mempelajari caranya juga merupakan satu tuntutan, menzahirkannya kepada pasangan juga merupakan sebuah tuntutan.
= Saling ambil berat atas kebajikan, perasaan, kerungsingan. Tabiat natural manusia cenderung kepada keinginan seseorang untuk mengambil berat tentang dirinya. Justeru, ini adalah antara item penting yang mesti diwujudkan di dalam sebuah rumahtangga. Wajib ke atas kedua-duanya, suami terhadap isteri  dan begitu juga sebaliknya. Sahabat nabi, Ibn Abbas r.a menjelaskan
الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء
Ertinya : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan. ( tafsir Al-Qurtubi)

= Imam Ibn Abbas r.a dan Mujahid pernah menerangkan bahawa Mawaddah bermaksud Jima' manakala rahmah itu adalah anak. Hasilnya, nafqah batin dan kepuasan suami isteri melaluinya adalah crucial di dalam sebuah rumahtangga. Kehadiran anak pula juga merupakan satu objektif perkahwinan yang dibanggai Rasulullah. Namun bagi yang belum mendapat rezeki itu, banyakkan berdoa dan teruskan usaha.

(Sumber Artikel : Ustaz Zaharuddin.net )

           Subhanallah, begitu indah perkahwinan dalam Islam.Semoga perkahwinanku berjaya mencapai objektif seperti mana yang disebut dalam ayat al-Quran di atas.Apa yang penting wahai para isteri dan suami (termasuk diriku),walau apa pun keadaannya jangan berhenti berdoa, berdoa dan berdoa supaya diteguhkan iman dan memperoleh keluarga bahagia dunia akhirat.


Ya Allah..
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu,
Aku buta tanpa bimbingan Mu,
Aku cacat tanpa hidayah Mu,
Aku hina tanpa Rahmat Mu..
Ya Allah..
Kuatkan hati dan semangatku,
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan-Mu,
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami,
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama-Mu,
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah..
Hanya pada Mu, Ya Allah..
Ku pohon segala harapan,
Kerana aku pasrah dengan dugaan-Mu,
Kerana aku sedar hinanya aku,
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru,
Kerana aku leka dengan keindahan dunia-Mu,
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran-Mu,
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian-Mu..
Ya Allah Tuhanku..
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati,
Isteri yang dikasihi,
Isteri yang solehah,
Isteri yang sentiasa dihati suamiku..Ameen