Tuesday, December 11, 2012

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan...

        Hari ini 11 Disember 2012 genaplah setahun usia perkahwinanku bersama suami tercinta Che Muhsin bin Che Ibrahim. Alhamdulillah, sepanjang setahun ni banyak yang telah ana pelajari tentang cinta dan perkahwinan ..tapi masih jauh lagi perjalanan kehidupan kami..InsyaAllah.
       Perkahwinan pada ana bukanlah matlamat hidup, tetap ia adalah salah satu wasilah untuk kita menjadi muslim yang bertaqwa. Allahu Akbar, maqam taqwa adalah suatu yang diingini oleh semua muslim/muslimah. Sebelum kahwin kita berusaha menjadi muslimah bertaqwa secara individu, tetapi apabila berkahwin Allah memberi 'teman/sahabat/rakan' yang sangat akrab kepada kita untuk sama-sama membantu, mengharungi dan memberi motivasi dalam menempuh perjalanan mengejar cinta dan taqwaNya. Di sini ana suka untuk membawakan petikan artikel Ustaz Zaharuddin berkaitan objektif perkahwinan dalam Islam untuk rujukan dan manfaat kita semua :


Firman Allah SWT, Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ( Al-Rum : 21)

Berdasarkan rujukan saya (Ustaz Zaharuddin) dari huraian para ulama silam di dalam kitab-kitab tafsir, dapat saya simpulkan dari ayat di atas, antara fungsi rumahtangga yang MESTI diusahakan oleh kedua-dua pasangan adalah untuk menjadikannya sebagai :-

1)    Litaskunu Ilayha
= Tempat merasa tenteram, kerehatan dan ketenangan. Faktor terkuat untuk menghasilkan aspek ini adalah individu di dalam rumah itu sendiri. Walau rumah sebesar dan sehebat mana pun binaannya, tanpa ahli rumah yang berkualiti, rumah tetap tidak mampu menghilangkan masalah.

2)    Mawaddah wa rahmah
= tempat emosi dan perasaan belas, kasih sayang dan cinta dipupuk. Maka adalah tanggung jawab pasangan untuk sentiasa memperbaharui kasih dan sayang mereka di antara satu sama lain. Itulah salah satu huraian yang diberikan oleh Sahabat Nabi, Ibn Abbas r.a apabila beliau berkata :
المودة حب الرجل امرأته
Ertinya : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya ( Tafsir Al-Qurtubi)
Justeru mempelajari caranya juga merupakan satu tuntutan, menzahirkannya kepada pasangan juga merupakan sebuah tuntutan.
= Saling ambil berat atas kebajikan, perasaan, kerungsingan. Tabiat natural manusia cenderung kepada keinginan seseorang untuk mengambil berat tentang dirinya. Justeru, ini adalah antara item penting yang mesti diwujudkan di dalam sebuah rumahtangga. Wajib ke atas kedua-duanya, suami terhadap isteri  dan begitu juga sebaliknya. Sahabat nabi, Ibn Abbas r.a menjelaskan
الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء
Ertinya : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan. ( tafsir Al-Qurtubi)

= Imam Ibn Abbas r.a dan Mujahid pernah menerangkan bahawa Mawaddah bermaksud Jima' manakala rahmah itu adalah anak. Hasilnya, nafqah batin dan kepuasan suami isteri melaluinya adalah crucial di dalam sebuah rumahtangga. Kehadiran anak pula juga merupakan satu objektif perkahwinan yang dibanggai Rasulullah. Namun bagi yang belum mendapat rezeki itu, banyakkan berdoa dan teruskan usaha.

(Sumber Artikel : Ustaz Zaharuddin.net )

           Subhanallah, begitu indah perkahwinan dalam Islam.Semoga perkahwinanku berjaya mencapai objektif seperti mana yang disebut dalam ayat al-Quran di atas.Apa yang penting wahai para isteri dan suami (termasuk diriku),walau apa pun keadaannya jangan berhenti berdoa, berdoa dan berdoa supaya diteguhkan iman dan memperoleh keluarga bahagia dunia akhirat.


Ya Allah..
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu,
Aku buta tanpa bimbingan Mu,
Aku cacat tanpa hidayah Mu,
Aku hina tanpa Rahmat Mu..
Ya Allah..
Kuatkan hati dan semangatku,
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan-Mu,
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami,
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama-Mu,
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah..
Hanya pada Mu, Ya Allah..
Ku pohon segala harapan,
Kerana aku pasrah dengan dugaan-Mu,
Kerana aku sedar hinanya aku,
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru,
Kerana aku leka dengan keindahan dunia-Mu,
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran-Mu,
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian-Mu..
Ya Allah Tuhanku..
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati,
Isteri yang dikasihi,
Isteri yang solehah,
Isteri yang sentiasa dihati suamiku..Ameen

Monday, July 30, 2012

MADRASAH RAMADHAN 1433H




Bismillahirrahmanirrahim...alhamdulillah setelah hampir 1 tahun lebih ana tidak berkesempatan update blog ni..kesian dia..kesunyian. hehe. Hari ini hari ke 10 ana berpuasa untuk bulan Ramadhan tahun1433H. Sekejap je masa berlalu meninggalkan kita. Hampir dua tahun juga ana sudah mengajar di bumi Sabah. Alhamdulillah.
                   Tiada apa yang besar ingin ana coretkan kali ini kerana masih serabut dengan kerja-kerja sekolah yang bertimbun. Belum lagi tanggungjawab sosial di luar sekolah juga..erm..Al wajibat Akthar minal auqaat... Cuma ana tertarik untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat di luar sana, sempena Ramadhan yang mulia dan terkenal dengan gelaran Madrasah Ramadhan maka marilah sama-sama kita berusaha mendalami lagi seberapa banyak hikmah dan mutiara Ramadhan. Mana-mana hati  dan ruh yang sudah 'kering' mungkin boleh dibasahkan dan dibersihkan dengan perbanyakkan amalan-amalan sunat seperti membaca Al-Quran dan berzikir.. Jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH-IBADAH SUNAT YANG LAIN..

Sunday, January 30, 2011

LANGKAH SEMALAM = )


 “Cik Husna, apabila masuk ke kelas nanti pastikan awak mempamerkan ketegasan supaya pelajar tidak mengambil kesempatan pada awak…terutama pelajar tingkatan 1U iaitu kelas paling tercorot. Pelajarnya nakal-nakal,” ujar Puan Pengetua kepadaku dengan senyuman penuh makna.
***********************
            “Assalamualaikum ustazah”. Lamunan kuterhenti apabila seorang pelajar perempuan memberi salam kepadaku. Aku menjawab salamnya dan  meneruskan langkah kakiku untuk ke kelas 1U di tingkat 2 blok B Sekolah Menengah Kebangsaan Sayong. Ah, perasaanku ketika ini bercampu baur, rasa berdebar, takut, tetapi tidak sabar untuk memulakan tugas sebagai pendidik. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang menjadi pendidik walaupun hanya sebagai guru sandaran tidak terlatih. 

            Setelah melihat Cikgu Azhar keluar daripada kelas 1U, aku pun melangkah masuk dengan penuh yakin tetapi mempamerkan wajah yang sedikit senyum. “Bangun! Assalamualaikum ustazah! “ seorang pelajar lelaki mungkin ketua kelasnya bangun memberi arahan kepada kawan-kawan sekelasnya. Aku menjawab “Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, baik jangan duduk lagi, baca doa beramai-ramai ye”. Aku melihat hanya beberapa orang pelajar sahaja yang membaca doa,yang selebihnya hanya menadah tangan tanpa menggerakkan mulutnya.

            “Baik, sebelum memulakan pelajaran hari ini, ustazah mahu memperkenalkan diri dan berkenalan dengan awak semua dahulu, boleh?”. Ujarku bersahaja. “Bolehhh ustazah”. Aku merenung pelajar-pelajarku satu persatu. Pelajar kelas 1U hanya 17 orang dan yang menariknya semuanya adalah lelaki. Patutla Puan Pengetua beriya menasihatiku untuk mempamerkan ketegasan ketika awal masuk ke kelas.

***********************
            “Macammana ustazah Husna?”, tanya Cikgu Siva sebaik sahajaku melangkah masuk ke bilik guru. “Maksud cikgu?”, aku menjawab persoalannya dengan soalan juga kerana kurang mengerti dengan pertanyaannya. “Iye la, tadi kan ustazah masuk kelas 1U. Pelajarnya nakal-nakal kan? I ajar matematik kelas tu, susah betul nak ajar.” Jawab Cikgu Siva panjang lebar. Aku hanya tersenyum kemudian menjawab panjang lebar, “Alhamdulillah, boleh la cikgu, nakal-nakal sikit tu memang ada, tapi saya rasa simpati terhadap diorang terutama Syafiq, Jefri, Azwan,Najmi dan Jamil. Tapi Redhuan dan Hazwan bagus dan dengar kata.”Cikgu Siva merenungku kehairanan,”Eh, ustazah boleh ingat ramai dah nama pelajar kelas tu? Baru masuk sekali kan..”. “Iye baru masuk sekali, tapi pelajar kelas ni tak ramai, mudah saya nak ingat, cikgu,”jawabku ringkas menutup bicara.Aku membuka buku rekod pengajaranku, berniat untuk menulis rancangan pengajaran harian untuk esok. Namun, fikiranku menerawang kepada pelajar-pelajar kelas 1U tadi.

 “Nama saya Najmi, anak bongsu, hehe”, Najmi tersengih sambil memperkenalkan diri. Najmi merupakan salah seorang daripada pelajar kelas 1U yang masih tidak lancar membaca. Setelah kuuji seorang demi seorang hanya 7 orang sahaja yang bacaan bahasa melayunya lancar. “Baik, ustazah nak dengar kamu semua baca surah al-Fatihah seorang demi seorang, boleh?” Hari pertama masuk ke kelas memang niatku untuk membuat ‘tinjauan’ secara tindak langsung tentang ‘iklim’ anak muridku di kelas 1U ini. Masih ramai yang tidak lancar membaca al-Fatihah, apabila ditanya solat juga amat jarang diamalkan kecuali seorang. Ah, dalam umur 13 tahun mereka dilayan oleh ibu bapa seperti kanak-kanak, tidak langsung mementingkan solat.

            “Ustazah! Najmi ambil tali leher saya..”, jerit Redhuan dengan muka menahan tangis.“Najmi, boleh duduk diam sekejap? Kenapa suka mengganggu orang, sayang..”ujarku sambil menuju ke meja guru. Ketikaku mendengar bacaan Al-Fatihah pelajar lain, Najmi suka mengambil kesempatan itu mengusik rakan-rakannya.”Hah!..SAYANG??” serentak Kamarul, Daniel, Mustafa, Hanif, Syafiq dan Firdaus mengulang kata yang kusebut kepada Najmi. Kelihatan Najmi tersenyum malu-malu kucing.Alamak, aku tersilap cakap ke? Hatiku berdetik, lantas mencari idea meredakan suasana. “Iye la..salah ke? Ustazah sayang pada kamu semua sebagai anak murid ustazah, seagama dengan ustazah, sebangsa dengan ustazah…Allah s.w.t dan Rasulullah SAW menyuruh kita umat Islam saling menyayangi sebab kita bersaudara.”Jawabku panjang lebar sambil tersenyum.

            “Tapi ustazah baru kenal kami..lama-lama mesti ustazah benci kami, sebab cikgu lain kata kami nakal sangat.” Tiba-tiba Syafiq bersuara selamba sambil mengangkat keningnya. “Syafiq, tiada sebab ustazah nak benci kamu semua jika kamu berusaha berkelakuan baik. Ustazah tidak boleh mengubah kamu tapi ustazah suka membantu dan bagi peluang pada kamu untuk jadi lebih baik”ujarku spontan, namun dihatiku berdoa agar Allah membantu dan memberi kekuatan padaku untuk menghadapi ‘cabaran’ mendatang.  

********************************
            Kini hampir 6 bulan aku mengajar di SMK Sayong. Dalam 6 bulan ini juga banyak pengalaman yang kuperolehi, terutama ketika berusaha mendidik pelajar-pelajar 1U. Sayu hati mahu meninggalkan mereka. “Ustazah mahu meminta maaf jika selama ustazah mengajar kamu ustazah ada terkasar bahasa, mendenda kamu dan sebagainya. Ustazah harap kamu semua faham dan mengambil pengajaran atas apa yang telah ustazah ajarkan.”Aku menuturkan ucapan kepada para pelajar 1U memandangkan hari ini adalah hari terakhir aku mengajar. “Kami minta maaf juga ustazah..”,tiba-tiba Najmi bersuara. Aku berasa sangat gembira kerana terdapat sedikit perubahan pada kelakuan Najmi,begitu juga sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka sudah tidak lokek untuk memohon maaf apabila berbuat salah, dan apabila disuruh berzikir, tidak lagi malas membuka mulut. 

            Walaupun 6 bulan adalah masa yang sangat singkat untuk mengubah mereka tetapi aku masih bersyukur  atas perubahan yang ditunjukkan. “Kami nak ustazah mengajar kat sekolah ni semula lepas ustazah habis belajar tau.”ujar Firdaus. “InsyaAllah, panjang umur kita jumpa lagi,ingat pesan ustazah jangan bersikap biadab pada guru dan ibu bapa. Walaupun kita tidak sepandai orang lain tapi biar budi pekerti kita tinggi,Allah itu Maha Adil..jangan malas solat juga.” Aku memberi amanat dan kata-kata terakhir sambil merenung wajah anak-anak muridku satu persatu. Jauh di sudut hati aku berdoa dan berharap agar mereka menjadi insan berguna kelak.

 Nah! Aku telah berusaha menjalankan amanahku mendidik mereka, kini aku berserah padaMu ya Allah yang Maha Berkuasa membuka pintu hati hamba-hambaNya yang dikehendaki. Semoga langkah semalam dan hari sebelumnya akan membawa sirna untuk langkah seterusnya di masa hadapan…



    Hasil Nukilan:

 Husna el-mujahid                    
(Sempena tugasan subjek DPLI : Dr Ariffin Mamat)
           

Monday, November 29, 2010

LINTANG manifestasi mujahid ilmu...

Pada 8 Oktober 2010 yang lepas ana menonton filem “Laskar Pelangi” di rumah sewa ana di Taman JJ, Kota Marudu, Sabah. Sebenarnya sudah lama ana nak menonton filem ni, jadi bila ternampak cd filem ni di rumah Kak Siti (guru di SMK Bandau) ana terus menyatakan hasrat nak pinjam.
            Pada mulanya ana menonton filem ni bersama housemate ana, tapi di pertengahan cerita housemate ana dah tertidur..hehe, sorang-sorang la ana melayan cerita ni sampai tamat. Dan pastinya di penghujung cerita ana menangis dengan syahdunya!! Sedih banget!! 
            Sebenarnya ana tak bercadang nak menceritakan sinopsis kpd 'Laskar Pelangi" dalam blog ni, tapi ana lebih tertarik untuk mengulas tentang satu watak yang sangat memberi kesan pada ana bermula di awal cerita sehingga tamat..Watak tersebut ialah watak yang bernama LINTANG...
Siapa Lintang? beliau merupakan seorang anak nelayan yang kematian ibu. Lintang hidup bersama ayahnya yang bekerja sebagai nelayan dan 3 orang lagi adik perempuannya. Sebagai anak sulong, ayahnya menaruh harapan tinggi supaya Lintang dapat belajar dan menjadi orang cerdik pintar di masa hadapan. Oleh itu, Lintang di minta oleh ayahnya ke sekolah walaupun pada logiknya pasti dia disuruh membantu ayahnya menangkap ikan di laut...
          Lintang berbasikal ke sekolahnya yang berbatu-batu jauhnya.. Di pendekkan cerita, Lintang menjadi seorang yang bijak dan matang drpd usianya. Beliau sentiasa menjadi rujukan rakan-rakannya di kelas dan kebanggaan Ibu Muslimah (gurunya).Namun, qadha' dan qadar Allah menentukan Lintang terpaksa berhenti dari persekolahannya demi mencari rezeki untuk adik-adiknya setelah kematian ayahnya. Lintang akur dengan ketentuan tersebut dan pemergiannya meninggalkan kesan dan pengajaran yang tersendiri buat semua warga sekolahnya. Lintang adalah murid pertama yang mendaftar di SD Muhamadiyyah 5 tahun yang lalu kini menjadi murid pertama yang meninggalkan sekolah.
              Di akhir cerita menunjukkan Lintang yang telah dewasa meneruskan tekadnya iaitu memastikan anaknya mendapat pelajaran sebaiknya sehingga menjadi orang terpelajar.Di sini menunjukkan sikap Lintang yang tidak merungut akan kesusahan dan takdirnya..malah tidak berputus asa untuk terus maju. Subhanallah...Jadi berdasarkan cerita dan watak Lintang ini ana simpulkan beberapa pengajaran iaitu:
1) Mu'min perlu sabar dan redha dgn qadha' dan qadar.
2) Hindari sikap suka merungut apabila di timpa kesusahan
3) Kesusahan biasanya mengajar manusia menjadi matang..

p/s: jangan berhenti berharap..apatah lagi berputus asa dengan kesusahan..kerana hikmah di sebaliknya pasti ada untuk menjadikan hidup kita lebih bermakna..InsyaAllah.